
Satu medium perkongsian maklumat-maklumat di
Kg. Seri Bengkal, Batu Pahat Johor.
Sejarah Kampung Seri Bengkal
Mengikut sejarah kampung ini telah mula diteroka pada tahun 1895. Selesai dilakukan pada tahun 1907. Diketuai oleh Pak Uyub bersama sama dengan Pak Ludin, Che Senah, Anjang Nahat dan Pak Bidin bin Mohd. Salleh. Pada awalnya kampung ini dinamakan Parit Uyub iaitu sempena nama salah peneroka. Sebilangan besar peneroka tersebut datangnya dari Kg. Bindu Tongkang Pechah dan datang melalui jalan sungai. Pada masa tersebut Bindu dipanggil Pulau Bindu dan kedudukan kampung ini adalah satu kawasan yang rendah dan ditenggelami air.
Pak Uyub menjadi Ketua Kampung sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1932. Selepas itu diganti oleh anaknya Che Senah. Sementara itu rakan Pak Uyub iaitu Pak Ludin telah dilantik sebagai ketua bagi kawasan Parit Yaani. Manakala disebelah darat pula diketuai oleh En. Sadiman bin Parto. Pada tahun 1941 Che Senah meninggal dunia dan Kampung Parit Uyub tidak berketua sehingga tahun 1946. Sepanjang tidak berketua kampung ini hanya diawasi oleh En. Mohamad iaitu anak saudara En. Basaran Penghulu Mukim 6 Linau pada masa itu.
Pada tahun 1929 Kerajaan Negeri Johor telah mendirikan sebuah sekolah melayu di kampung ini dan diberikan nama Sekolah Melayu Seri Bengkal sempena nama sepohon pokok bengkal yang tumbuh di Kuala Parit Uyub. Jadi kawasan yang disebelah laut terus dinamakan sebagai Kampung Seri Bengkal. Ketua UMNO ketika itu En. Hashim bin Abd. Manaf dan dilantik sebagai Ketua Kampung Seri Bengkal dan Parit Uyub tetap kekal disebelah darat dan juga kekal sebagai salah sebuah kampong rangkaian Seri Bengkal.
Namun buat masa ini Sri Bengkal ditadbir oleh ketua kampung sendiri setelah rombakan pemecahan persempadanan kampung yang baru dan dibawah persempadanan daerah Seri Gading, Batu Pahat.